Selamat Datang

Gua percaya lu orang yang menjejaki blog gua ini terdiri daripada mat-mat rock yang pernah melalui zaman kegemilangan rock kapak satu masa dulu. Pada ketika itu industri hiburan sangat meriah. Boleh dikatakan setiap hari ada saja lagu baru yang keluar. Pelbagai band muzik yang muncul dengan bermacam-macam nama membawa killer song masing-masing. Walaupun sekarang zaman telah berlalu, tapi lagu-lagu tersebut masih menjadi kegilaan. Syarikat rakaman dan stesen radio juga berlumba-lumba mengeluarkan semula lagu-lagu popular tersebut. Tapi sebenarnya ada banyak lagi lagu-lagu yang popular dan sedap didengar yang tidak lagi diperdengarkan kepada umum. Dalam blog ini gua cuba untuk memperdengarkan sebahagian lagu-lagu tersebut yang juga menjadi pujaan gua pada ketika itu.

Rock Kapak: Skala - Pengertian Cinta

Stings - Hanya Kau Segalanya
Kumpulan Stings merupakan sebuah kumpulan muzik yang muncul dalam industri pada tahun 1994 menerusi album sulung yang diberi judul Hajat. Album terbitan MSO ini boleh dikatakan sebuah album yang baik. Terdapat banyak lagu yang sedap didengar di dalamnya. Antara lagu hits adalah Kepadamu Kekasih Hati, Kau Tetap Ku Hajati, Sebak dan Hanya Kau Segalanya.
Lagu yang lu orang dengar ini adalah hasil ciptaan komposer tersohor iaitu Saari Amri.


Susila - Merpati Keasingan
Kumpulan Susila merupakan sebuah kumpulan rock yang pernah muncul ditengah-tengah kehangatan muzik rock pada tahun 1991. Berbekalkan sebuah album berjudul Menjulang Harapan yang diterbitkan oleh Abang Sham dan Azida NS, kumpulan Susila mempertaruhkan lagu Merpati Keasingan dan Purnama Yang Rebah sebagai killer song dalam album ini. Mereka dianggotai oleh Zek, Joy, Boy, Man dan Farid. Lagu Merpati Keasingan adalah hasil ciptaan Atok sementara lirik pula ditulis oleh Sariha Halim dan Azida NS.


Skala - Pengertian Cinta
Kumpulan Skala merupakan sebuah kumpulan rock berasal dari Ipoh yang merakamkan album pada tahun 1992. Mereka popular dengan lagu Digenggam Sepi dan Pengertian Cinta.