Selamat Datang

Gua percaya lu orang yang menjejaki blog gua ini terdiri daripada mat-mat rock yang pernah melalui zaman kegemilangan rock kapak satu masa dulu. Pada ketika itu industri hiburan sangat meriah. Boleh dikatakan setiap hari ada saja lagu baru yang keluar. Pelbagai band muzik yang muncul dengan bermacam-macam nama membawa killer song masing-masing. Walaupun sekarang zaman telah berlalu, tapi lagu-lagu tersebut masih menjadi kegilaan. Syarikat rakaman dan stesen radio juga berlumba-lumba mengeluarkan semula lagu-lagu popular tersebut. Tapi sebenarnya ada banyak lagi lagu-lagu yang popular dan sedap didengar yang tidak lagi diperdengarkan kepada umum. Dalam blog ini gua cuba untuk memperdengarkan sebahagian lagu-lagu tersebut yang juga menjadi pujaan gua pada ketika itu.

Rock Kapak: Dayana - Punca

Rockgempak kali ini gua akan senaraikan lagu-lagu rock kapak yang diminta oleh saudara Faizal Izaliah. Buat yang lain gua akan cuba tunaikan permintaan korang jika lagu yang diminta bersesuaian untuk dimuatkan dalam blog ini dan ada dalam simpanan gua.

Nobat - Djamilah

Lagu berkonsep rap rock ini dipetik dari album sulung Nobat berjudul Ketam Ketam Batu pada tahun 1991. Album diterbitkan oleh Usop dan Nicky Ooi (Headwind). Kumpulan Nobat dianggotai oleh Eury Khan, Bidin, Limi dan Shah. Mereka adalah bekas ahli kumpulan rock Desire dan Zodiak. Di atas teguran beberapa pihak mereka kemudian menukar nama dari Nobat kepada SOS.

Garuda - Bunga Cinta Berwajah Nista

Lagu popular ciptaan Yim Sambora (pemain drum Garuda) ini dipetik dari album sulung Garuda berjudul Bahtera Mahkota pada tahun 1991. Album ini telah diterbitkan oleh Samad Mean (Lefthanded). Kumpulan Garuda dianggotai oleh Isa (bekas vokalis Handy Black), Zaini, Man Tobey dan Yim Sambora.

Blackshed - Satu Dan Seribu

Lagu ini adalah lagu ciptaan Allahyarham JS Kevin atau nama sebenarnya Zul Adnan Razali. Dipetik dari album Blackshed berjudul Villa Misteri pada tahun 1990. Blackshed atau sebelum itu dikenali sebagai Bloodshed menampilkan penyanyi baru bernama Farid Ali bagi menggantikan Rosdan Baharom di dalam album ini. Album ini juga mengandungi lagu popular Menggenggam Bara ciptaan M Nasir.

Dayana - Punca

Lagu ini sememangnya popular satu ketika dulu. Lagu hasil ciptaan Saari Amri ini dipetik dari album Dayana pada tahun 1993. Album ini adalah terbitan Denoris Record. Sayangnya Dayana hanya sempat merakamkan sebuah album sahaja. Lagu berjudul Punca ini juga pernah dinyanyikan semula oleh Amir UK's dalam album yang diberi tajuk Amir UK's Nyanyikan Karya Saari Amri pada tahun 1995.

Rock Kapak: Lagenda Lefthanded

LEFTHANDED merupakan antara kumpulan rock terawal yang gua minati. Lebih tepat lagi selepas gua mengenali kumpulan Search. Kumpulan Lefthanded dianggotai oleh Nash (vokal), Man Kidal (gitar), Samad (gitar), Yan (bass) dan Man Dayak (drum). Lefthanded juga pernah menggunakan khidmat Isa selaku pemain keyboard dalam album kedua dan ketiga. Ramli Sarip dan Arab juga pernah menyanyi bersama Lefthanded. Album pertama Lefthanded muncul pada tahun 1986 diberi judul Keadilan. Terima kasih buat abang gua yang memperkenalkan album Lefthanded ini kepada gua. Lagu paling popular dalam album tersebut adalah Debunga Wangi. Di sana sini orang menyanyikan lagu tersebut. Jika kumpulan Search sering dikaitkan dengan M Nasir, Lefthanded pula lebih sinonim dengan Ramli Sarip. Di dalam Rockgempak kali ini gua akan paparkan beberapa lagu Lefthanded yang paling gua minati. Terlalu banyak lagu Lefthanded yang sedap didengar. Sukar untuk gua buat pilihan...

Lefthanded - Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi

Antara lagu slow rock yang popular dari album pertama. Pernah menjadi pencalonan dalam rancangan Muzik Muzik di TV3. First time gua dapat tengok kumpulan Lefthanded.


Lefthanded - Kenangan Bersamamu

Lagu dari album kedua Lefthanded berjudul Seruan. Dikeluarkan pada tahun 1987. Album ini benar-benar memberikan kesan buat gua. Album ini gua anggap sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh Lefthanded. Banyak lagu-lagu menarik dalam album ini yang mana ianya sering menjadi nyanyian gua dan kawan-kawan gua sewaktu di sekolah.

Lefthanded - Sepanjang Riwayat Hidup (Untuk Ibu)

Sebuah lagu fast dari album Seruan. Penghargaan buat ibu. Boleh dikatakan kesemua lagu dalam album Seruan menjadi pujaan gua pada tahun itu.

Lefthanded - Mengejar Pelangi

Lagu dari album ketiga Lefthanded berjudul Qabul pada tahun 1988. Album ini gua agak kurang teruja skit. Tak tahu lah kenapa. Dari kulit album hinggalah lagu-lagu di dalamnya. Namun begitu ada juga terdapat satu dua lagu yang gua minat. Antaranya, inilah lagu Mengejar Pelangi walaupun yang sering ke udara pada masa itu adalah lagu Maya Persada dan Janji Kesetiaan.

Lefthanded - Pencinta

Lagu ini pula dipetik dari album keempat Lefthanded berjudul Evolusi pada tahun 1989. Album ini gua rasakan lebih baik dari album Qabul. Selain lagu Pencinta gua turut meminati lagu Keindahan Sepi, Arah Yang Hilang dan Carilah.

Lefthanded - Semangat Lamina

Lagu ini nyanyian oleh Ramli Sarip. Beliau menjadi penyanyi undangan Lefthanded dalam album Fanatisme pada tahun 1991. Keseluruhan lagu dalam album ini dinyanyikan oleh Ramli Sarip setelah Nash mengundur diri dari kumpulan Lefthanded. Antara lagu popular dalam album Fanatisme adalah Satu Tidur Panjang, Impian Setaman, Blues selain dari lagu Semangat Lamina sendiri.


Rock Kapak: Alfa - Wajah Seribu Erti

Mega - Kau Dan Aku
Kau Dan Aku adalah sebuah lagu popular yang dipetik dari album pertama kumpulan Mega pada tahun 1990. Lagu ini dinyanyikan oleh Zarith sebelum Rahmad mengambil tempat beliau dalam album kedua Mega dan seterusnya. Album ini boleh dianggap 'killer album' kerana terdapat begitu banyak lagu yang menarik di dalamnya. Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara dan Pasti merupakan antara dua buah lagu yang sering berkumandang di radio sehingga ke hari ini.


Evolusi - Sebenarnya Kekasih
Sebuah lagu popular selain lagu Mei Hua yang dipetik dari album sulung Evolusi pada tahun 1992. Lagu dicipta oleh Afzainizam Ismail dan lirik ditulis oleh Azimah.

Alfa - Wajah Seribu Erti
Lagu ini dipetik dari album sulung kumpulan Alfa yang turut menggunakan tajuk yang sama. Kumpulan ini dianggotai oleh Alfa, Rumie, Bad, Am dan Yen. Alfa dan Rumie merupakan anak kepada Kesuma Booty. Lagu-lagu di dalam album ini mendapat sentuhan dari komposer-komposer terbaik seperti Fauzi Marzuki, Khalid Mobin, Mohd Nor, Bob dan ramai lagi.

Rock Kapak: Iklim - Suci Dalam Debu

Kali ini gua nak bercerita pasal kumpulan Iklim pula. Kebetulan minggu lepas gua ada menyaksikan persembahan Saleem di kaca televisyen. Sungguh terhibur dengan persembahan Saleem pada malam itu. Mantap betul lah. Sememangnya gua meminati Iklim sejak album pertama mereka lagi Satu Kesan Abadi yang benar-benar membawa kesan yang abadi pada gua dan lagu-lagu kumpulan Iklim.

Berikut beberapa buah lagu Iklim yang menjadi pujaan gua satu ketika dulu hingga ke hari ini. Terlalu banyak sebenarnya lagu Iklim yang best. Sukar untuk gua membuat pilihan.

Iklim - Suci Dalam Debu

Lagu yang mula menaikkan nama Iklim dalam persada hiburan tanahair. Dipetik dari album sulung Satu Kesan Abadi. Ciptaan Wan Zul dan lirik oleh S Amin Shahab. Tempat kedua Juara Lagu 1990.

Iklim - Hakikat Sebuah Cinta
Sebuah lagi lagu berhantu dalam album sulung Iklim. Lagu dicipta oleh Azam lirik oleh Zurain.Kekuatan lagu ini boleh dikatakan seimbang dengan Suci Dalam Debu.

Iklim - Sandiwara Cinta Semusim
Turut dipetik dari album sulung Iklim. Lagu ini ciptaan Syed Amran iaitu adik kepada Siso. Sementara lirik pula oleh Wan Zul.

Iklim - Bulan Jatuh Ke Riba
Lagu dari album kedua Iklim pada tahun 1991 yang turut menggunakan tajuk lagu ini. Ciptaan Nur Ehsan lirik oleh Zurain.

Iklim - Selamat Tinggal Penderitaan
Turut dipetik dari album kedua Iklim. Ciptaan Wan Zul lirik oleh S Amin Shahab. Lagu ini juga mempunyai versi Indonesia untuk tujuan promosi di sana.

Iklim - Bukan Aku Tak Cinta
Dipetik dari sebuah album kompilasi Iklim pada tahun 1993. Lagu dicipta oleh Adinda Amiro. Lagu ini mendapat sambutan hangat di Indonesia dan pernah juga dinyanyikan oleh penyanyi dari sana.