Selamat Datang

Gua percaya lu orang yang menjejaki blog gua ini terdiri daripada mat-mat rock yang pernah melalui zaman kegemilangan rock kapak satu masa dulu. Pada ketika itu industri hiburan sangat meriah. Boleh dikatakan setiap hari ada saja lagu baru yang keluar. Pelbagai band muzik yang muncul dengan bermacam-macam nama membawa killer song masing-masing. Walaupun sekarang zaman telah berlalu, tapi lagu-lagu tersebut masih menjadi kegilaan. Syarikat rakaman dan stesen radio juga berlumba-lumba mengeluarkan semula lagu-lagu popular tersebut. Tapi sebenarnya ada banyak lagi lagu-lagu yang popular dan sedap didengar yang tidak lagi diperdengarkan kepada umum. Dalam blog ini gua cuba untuk memperdengarkan sebahagian lagu-lagu tersebut yang juga menjadi pujaan gua pada ketika itu.

Rock Kapak: Figures - Kalau Terpaksa

Classmate - Segaris Sinar Dalam Kembara
Segaris Sinar Dalam Kembara dipetik dari album sulung kumpulan Classmate berjudul Nyata pada tahun 1990. Album ini diterbitkan oleh Mohd Din dan Isa (bekas pemain keyboard Lefthanded) dan diedarkan oleh Spectrum Musical Productions. Anggota-anggota kumpulan Classmate terdiri daripada TJ, Apai, Fizzi dan An. Mereka juga pernah diberi peluang berlakon dalam filem Mira Edora yang menampilkan pelakon utama Julia Rais, Noorkumalasari dan Mustapha Kamal.

Figures - Kalau Terpaksa

Kalau Terpaksa dipetik dari album sulung kumpulan Figures yang turut menggunakan tajuk Kalau Terpaksa. Album yang diterbitkan oleh A.Ali dan diedarkan oleh NSR pada tahun 1989. Kumpulan Figures dianggotai oleh Isa, Hamid, Hassan, Ahmad Daud dan Ahmad Abdullah. Lagu Kalau Terpaksa ini hasil ciptaan A Ali dan lirik oleh Lukhman S.

GET - Dr Labu

Dr Labu adalah sebuah lagu heavy rock n roll yang diambil dari album pertama kumpulan GET. GET adalah singkatan Gabungan Empat Tenaga dimana kumpulan ini dianggotai oleh 4 orang pemuzik handalan iaitu Fancy (bekas pemain gitar Sofea), Bad (bekas pemain bass Scandals dan Handy Black), Ajid (bekas vokalis Ababil) dan Sham (bekas pemain drum Student). Lagu Dr Labu adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Fancy.

Rock Kapak: Skala - Pengertian Cinta

Stings - Hanya Kau Segalanya
Kumpulan Stings merupakan sebuah kumpulan muzik yang muncul dalam industri pada tahun 1994 menerusi album sulung yang diberi judul Hajat. Album terbitan MSO ini boleh dikatakan sebuah album yang baik. Terdapat banyak lagu yang sedap didengar di dalamnya. Antara lagu hits adalah Kepadamu Kekasih Hati, Kau Tetap Ku Hajati, Sebak dan Hanya Kau Segalanya.
Lagu yang lu orang dengar ini adalah hasil ciptaan komposer tersohor iaitu Saari Amri.


Susila - Merpati Keasingan
Kumpulan Susila merupakan sebuah kumpulan rock yang pernah muncul ditengah-tengah kehangatan muzik rock pada tahun 1991. Berbekalkan sebuah album berjudul Menjulang Harapan yang diterbitkan oleh Abang Sham dan Azida NS, kumpulan Susila mempertaruhkan lagu Merpati Keasingan dan Purnama Yang Rebah sebagai killer song dalam album ini. Mereka dianggotai oleh Zek, Joy, Boy, Man dan Farid. Lagu Merpati Keasingan adalah hasil ciptaan Atok sementara lirik pula ditulis oleh Sariha Halim dan Azida NS.


Skala - Pengertian Cinta
Kumpulan Skala merupakan sebuah kumpulan rock berasal dari Ipoh yang merakamkan album pada tahun 1992. Mereka popular dengan lagu Digenggam Sepi dan Pengertian Cinta.

Rock Kapak: Aroma - Aroma Asmara

Junction - Lumrah

Sebuah lagu yang dipetik dari album kedua Junction yang berjudul Penentuan. Album diterbitkan pada tahun 1989 yang turut mengandungi beberapa lagu yang hits antaranya Monolog Untuk Rina, Kisah Cinta Antara Kita dan Cinta Sejuta Warna. Merupakan album terakhir bersama Hatta sebelum beliau bergerak secara solo.

Leez - El

Salah seorang penyanyi rock wanita yang pernah muncul dalam industri hiburan tempatan. Lagu dipetik dari album Memperkenalkan...Leez pada tahun 1989.

Aroma - Aroma Asmara

Lagu ini dipetik dari album sulung kumpulan Aroma yang diterbitkan oleh Nicky dan Kudin (Headwind) pada tahun 1990. Aroma dianggotai oleh Ucop, Mazli dan Jamal. Mereka bertiga bukanlah kumpulan pemuzik tetapi mereka semua adalah penyanyi yang dipertemukan oleh syarikat rakaman Polygram seterusnya membentuk satu kumpulan. Ucop juga merupakan penyanyi kumpulan rock Hatty yang popular dengan lagu Bencana Cinta.


Rock Kapak: Wings - Belenggu Irama

Rockgempak kali ini akan dipenuhi dengan permintaan oleh saudara Mohd Faizzan Mohd Yusoff. Beliau meminta disiarkan lagu-lagu dari album pertama Wings tetapi tidak pula menyebut lagu apa. So diharapkan lu berpuashati dengan lagu-lagu yg dipilih ini.
Belenggu Irama telah diterbitkan pada tahun 1987 oleh syarikat rakaman ASP. Ahli kumpulan Wings dalam album ini terdiri daripada Awie (vokal) Syam (gitar) Eddie (bass) dan Black (drum). Tidak perlu diperkatakan lagi tentang kehebatan album ini di mana sehingga kini banyak lagu dalam album Belenggu Irama masih lagi diminati dan diingati oleh para peminat.


Wings - Dari Tuhan

Lagu berunsur ketuhanan yang menginsafkan. Pernah diberi nafas baru oleh kumpulan nasyid Raihan.

Wings - Sekeping Kertas Bermaruah

Ini duit punya cerita.

Wings - Belenggu Irama

Lagu yang menjadi judul album. Salah sebuah lagu yang di'gam' dari penyiaran.

Wings - Kota Kemusnahan

Sebuah lagi lagu yang best dari album Belenggu Irama.


Rock Kapak: StraTG - Rentak Mat Metal

Firstly, gua memohon maaf kepada pengunjung-pengunjung blog ini kerana lambat meng'update' lagu-lagu terbaru. Ada beberapa komitmen penting yang perlu gua selesaikan beberapa hari yang lepas.

Rockgempak kali ini akan dipenuhi dengan permintaan oleh saudara Nasirudin Nasli. Buat yang lain gua akan cuba tunaikan permintaan korang jika lagu yang diminta bersesuaian untuk dimuatkan dalam blog ini dan ada dalam simpanan gua.

Laksamana - Itulah Caraku

Lagu ini dipetik dari album sulung Laksamana berjudul Syukur pada tahun 1991. Album diterbitkan oleh Ismail Ahmad Nawab dan dibantu oleh Nasir Ahmad Nawab selaku penolong penerbit. Kumpulan yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta ini dianggotai oleh Nizam Arjuna, Man Second, Lax Mira dan Jumier.

Stra T.G - Rentak Mat Metal

StraT.G adalah sebuah kumpulan yang merakamkan album sulung pada tahun 1992. Album ini diberi judul Kau Mutiara Segalanya berkonsep heavy metal dan diterbitkan sendiri oleh kumpulan StraT.G. Lagu Rentak Mat Metal adalah ciptaan Kiya dan lirik oleh Hairy. Kumpulan StraT.G dianggotai oleh Hairy (vokal) Bogo (gitar) Bob (bass) dan Man (drum)

StraT.G - Generasi Baru

Sebuah lagi lagu yang dipetik dari album StraT.G. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Hairy.


Rock Kapak: Sofea - Nadia

Rockgempak kali ini gua akan cuba menghuraikan permintaan yang diutarakan oleh saudara amirul farhan beberapa hari lepas di dalam emailnya kepada gua.
Buat yang lain gua akan cuba tunaikan permintaan korang jika lagu yang diminta bersesuaian untuk dimuatkan dalam blog ini dan ada dalam simpanan gua.

Kafilah - Masih Ada Sang Suria

Kumpulan Kafilah adalah kumpulan yang berasal dari Raub, Pahang Darul Makmur. Mereka pernah meraih tempat ketiga dalam siri pertandingan Rock Galactica pada tahun 1988. Semasa itu mereka dikenali dengan nama Rattle. Dalam pertandingan akhir tersebut mereka telah membawakan lagu Keadilan dan Sleeping In The Fire. Ekoran dari kejayaan itu mereka diberi peluang untuk merakam album bersama dengan 4 lagi kumpulan yang turut sama dalam pertandingan tersebut iaitu Suria, Lipan Bara, Destinasi dan Warisan Rockers. Di dalam pertandingan Rock Galactica itu juga pemain drum mereka iaitu Nazeri Omar (juga dikenali sebagai Kidin) telah memenangi anugerah pemain drum terbaik. Nazeri juga pernah menjadi pemain drum kumpulan GET (Gabungan Empat Tenaga) di dalam album Resepi Lorong Sepi pada tahun 1992. Dan baru-baru ini Nazeri telah meninggal dunia akibat terjatuh ketika membuat penggambaran aksi stunt dalam sebuah filem tempatan.


Keno - Memori Kelasi Tua

Info mengenai kumpulan Keno pernah gua berikan di dalam artikel yang lepas. Sila rujuk di sini. Lagu ini juga dipetik dari album sulung kumpulan Keno pada tahun 1992.

Sofea - Nadia

Lagu Nadia dipetik dari album ketiga kumpulan Sofea yang juga sebelum itu dikenali sebagai SYJ. Album ketiga Sofea diberi judul Boneka Pentas. Anggota Sofea dalam album tersebut terdiri daripada Amir (vokal), Fancy (gitar), Man Rani (bass) dan Nahar (drum). Album ini turut memuatkan beberapa lagi lagu menarik antaranya Syurga Di Hujung Jarum, Sangkuriang dan Dewi Hayalan.

Rock Kapak: Dayana - Punca

Rockgempak kali ini gua akan senaraikan lagu-lagu rock kapak yang diminta oleh saudara Faizal Izaliah. Buat yang lain gua akan cuba tunaikan permintaan korang jika lagu yang diminta bersesuaian untuk dimuatkan dalam blog ini dan ada dalam simpanan gua.

Nobat - Djamilah

Lagu berkonsep rap rock ini dipetik dari album sulung Nobat berjudul Ketam Ketam Batu pada tahun 1991. Album diterbitkan oleh Usop dan Nicky Ooi (Headwind). Kumpulan Nobat dianggotai oleh Eury Khan, Bidin, Limi dan Shah. Mereka adalah bekas ahli kumpulan rock Desire dan Zodiak. Di atas teguran beberapa pihak mereka kemudian menukar nama dari Nobat kepada SOS.

Garuda - Bunga Cinta Berwajah Nista

Lagu popular ciptaan Yim Sambora (pemain drum Garuda) ini dipetik dari album sulung Garuda berjudul Bahtera Mahkota pada tahun 1991. Album ini telah diterbitkan oleh Samad Mean (Lefthanded). Kumpulan Garuda dianggotai oleh Isa (bekas vokalis Handy Black), Zaini, Man Tobey dan Yim Sambora.

Blackshed - Satu Dan Seribu

Lagu ini adalah lagu ciptaan Allahyarham JS Kevin atau nama sebenarnya Zul Adnan Razali. Dipetik dari album Blackshed berjudul Villa Misteri pada tahun 1990. Blackshed atau sebelum itu dikenali sebagai Bloodshed menampilkan penyanyi baru bernama Farid Ali bagi menggantikan Rosdan Baharom di dalam album ini. Album ini juga mengandungi lagu popular Menggenggam Bara ciptaan M Nasir.

Dayana - Punca

Lagu ini sememangnya popular satu ketika dulu. Lagu hasil ciptaan Saari Amri ini dipetik dari album Dayana pada tahun 1993. Album ini adalah terbitan Denoris Record. Sayangnya Dayana hanya sempat merakamkan sebuah album sahaja. Lagu berjudul Punca ini juga pernah dinyanyikan semula oleh Amir UK's dalam album yang diberi tajuk Amir UK's Nyanyikan Karya Saari Amri pada tahun 1995.

Rock Kapak: Lagenda Lefthanded

LEFTHANDED merupakan antara kumpulan rock terawal yang gua minati. Lebih tepat lagi selepas gua mengenali kumpulan Search. Kumpulan Lefthanded dianggotai oleh Nash (vokal), Man Kidal (gitar), Samad (gitar), Yan (bass) dan Man Dayak (drum). Lefthanded juga pernah menggunakan khidmat Isa selaku pemain keyboard dalam album kedua dan ketiga. Ramli Sarip dan Arab juga pernah menyanyi bersama Lefthanded. Album pertama Lefthanded muncul pada tahun 1986 diberi judul Keadilan. Terima kasih buat abang gua yang memperkenalkan album Lefthanded ini kepada gua. Lagu paling popular dalam album tersebut adalah Debunga Wangi. Di sana sini orang menyanyikan lagu tersebut. Jika kumpulan Search sering dikaitkan dengan M Nasir, Lefthanded pula lebih sinonim dengan Ramli Sarip. Di dalam Rockgempak kali ini gua akan paparkan beberapa lagu Lefthanded yang paling gua minati. Terlalu banyak lagu Lefthanded yang sedap didengar. Sukar untuk gua buat pilihan...

Lefthanded - Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi

Antara lagu slow rock yang popular dari album pertama. Pernah menjadi pencalonan dalam rancangan Muzik Muzik di TV3. First time gua dapat tengok kumpulan Lefthanded.


Lefthanded - Kenangan Bersamamu

Lagu dari album kedua Lefthanded berjudul Seruan. Dikeluarkan pada tahun 1987. Album ini benar-benar memberikan kesan buat gua. Album ini gua anggap sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh Lefthanded. Banyak lagu-lagu menarik dalam album ini yang mana ianya sering menjadi nyanyian gua dan kawan-kawan gua sewaktu di sekolah.

Lefthanded - Sepanjang Riwayat Hidup (Untuk Ibu)

Sebuah lagu fast dari album Seruan. Penghargaan buat ibu. Boleh dikatakan kesemua lagu dalam album Seruan menjadi pujaan gua pada tahun itu.

Lefthanded - Mengejar Pelangi

Lagu dari album ketiga Lefthanded berjudul Qabul pada tahun 1988. Album ini gua agak kurang teruja skit. Tak tahu lah kenapa. Dari kulit album hinggalah lagu-lagu di dalamnya. Namun begitu ada juga terdapat satu dua lagu yang gua minat. Antaranya, inilah lagu Mengejar Pelangi walaupun yang sering ke udara pada masa itu adalah lagu Maya Persada dan Janji Kesetiaan.

Lefthanded - Pencinta

Lagu ini pula dipetik dari album keempat Lefthanded berjudul Evolusi pada tahun 1989. Album ini gua rasakan lebih baik dari album Qabul. Selain lagu Pencinta gua turut meminati lagu Keindahan Sepi, Arah Yang Hilang dan Carilah.

Lefthanded - Semangat Lamina

Lagu ini nyanyian oleh Ramli Sarip. Beliau menjadi penyanyi undangan Lefthanded dalam album Fanatisme pada tahun 1991. Keseluruhan lagu dalam album ini dinyanyikan oleh Ramli Sarip setelah Nash mengundur diri dari kumpulan Lefthanded. Antara lagu popular dalam album Fanatisme adalah Satu Tidur Panjang, Impian Setaman, Blues selain dari lagu Semangat Lamina sendiri.


Rock Kapak: Alfa - Wajah Seribu Erti

Mega - Kau Dan Aku
Kau Dan Aku adalah sebuah lagu popular yang dipetik dari album pertama kumpulan Mega pada tahun 1990. Lagu ini dinyanyikan oleh Zarith sebelum Rahmad mengambil tempat beliau dalam album kedua Mega dan seterusnya. Album ini boleh dianggap 'killer album' kerana terdapat begitu banyak lagu yang menarik di dalamnya. Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara dan Pasti merupakan antara dua buah lagu yang sering berkumandang di radio sehingga ke hari ini.


Evolusi - Sebenarnya Kekasih
Sebuah lagu popular selain lagu Mei Hua yang dipetik dari album sulung Evolusi pada tahun 1992. Lagu dicipta oleh Afzainizam Ismail dan lirik ditulis oleh Azimah.

Alfa - Wajah Seribu Erti
Lagu ini dipetik dari album sulung kumpulan Alfa yang turut menggunakan tajuk yang sama. Kumpulan ini dianggotai oleh Alfa, Rumie, Bad, Am dan Yen. Alfa dan Rumie merupakan anak kepada Kesuma Booty. Lagu-lagu di dalam album ini mendapat sentuhan dari komposer-komposer terbaik seperti Fauzi Marzuki, Khalid Mobin, Mohd Nor, Bob dan ramai lagi.

Rock Kapak: Iklim - Suci Dalam Debu

Kali ini gua nak bercerita pasal kumpulan Iklim pula. Kebetulan minggu lepas gua ada menyaksikan persembahan Saleem di kaca televisyen. Sungguh terhibur dengan persembahan Saleem pada malam itu. Mantap betul lah. Sememangnya gua meminati Iklim sejak album pertama mereka lagi Satu Kesan Abadi yang benar-benar membawa kesan yang abadi pada gua dan lagu-lagu kumpulan Iklim.

Berikut beberapa buah lagu Iklim yang menjadi pujaan gua satu ketika dulu hingga ke hari ini. Terlalu banyak sebenarnya lagu Iklim yang best. Sukar untuk gua membuat pilihan.

Iklim - Suci Dalam Debu

Lagu yang mula menaikkan nama Iklim dalam persada hiburan tanahair. Dipetik dari album sulung Satu Kesan Abadi. Ciptaan Wan Zul dan lirik oleh S Amin Shahab. Tempat kedua Juara Lagu 1990.

Iklim - Hakikat Sebuah Cinta
Sebuah lagi lagu berhantu dalam album sulung Iklim. Lagu dicipta oleh Azam lirik oleh Zurain.Kekuatan lagu ini boleh dikatakan seimbang dengan Suci Dalam Debu.

Iklim - Sandiwara Cinta Semusim
Turut dipetik dari album sulung Iklim. Lagu ini ciptaan Syed Amran iaitu adik kepada Siso. Sementara lirik pula oleh Wan Zul.

Iklim - Bulan Jatuh Ke Riba
Lagu dari album kedua Iklim pada tahun 1991 yang turut menggunakan tajuk lagu ini. Ciptaan Nur Ehsan lirik oleh Zurain.

Iklim - Selamat Tinggal Penderitaan
Turut dipetik dari album kedua Iklim. Ciptaan Wan Zul lirik oleh S Amin Shahab. Lagu ini juga mempunyai versi Indonesia untuk tujuan promosi di sana.

Iklim - Bukan Aku Tak Cinta
Dipetik dari sebuah album kompilasi Iklim pada tahun 1993. Lagu dicipta oleh Adinda Amiro. Lagu ini mendapat sambutan hangat di Indonesia dan pernah juga dinyanyikan oleh penyanyi dari sana.

Rock Kapak: Babylon - Metalfire

Babylon - Metalfire
Lagu berbahasa inggeris ini dipetik dari album sulung Babylon pada tahun 1990. Album yang diterbitkan oleh M Nasir ini berkonsepkan heavy metal. Kumpulan Babylon diterajui oleh pasangan kembar iaitu Hussein (vokalis) dan Hasan (gitaris). Mereka turut disertai oleh Kamal (bassist) dan Naha (drum). Lagu ini hasil ciptaan Hasan dan Hussein sementara lirik ditulis oleh Arabi. Terdapat sebuah lagi lagu berbahasa inggeris dalam album ini iaitu Fight For Freedom.

Dinamik - Pesanan
Lagu ini dipetik dari album sulung Dinamik berjudul Revolusi Mental pada penghujung tahun 1990. Album ini diterbitkan oleh Afzainizam dan diedarkan oleh NSR. Lirik lagu yang membawa mesej agar kita menghargai jasa kedua ibu bapa ini antara lagu yang popular dalam album ini. Kumpulan Dinamik dianggotai oleh 4 orang pemuzik dari Pahang Darulmakmur iaitu Norin, Nan, Jeff dan Lie. Sementara vokalis mereka, Nai berasal dari Sarawak.

Febians - Senjata Zaman
Senjata Zaman dipetik dari album ketiga Febians berjudul Satu Antara Sejuta. Album ini banyak memuatkan lagu-lagu yang lebih berat dari album-album Febians sebelumnya. Kumpulan berasal dari Johor ini dianggotai oleh Nasha, Aziz, Sham, Yan dan Harun. Dan jika diamati lagu ini telah diberi nafas baru oleh kumpulan Amuk dengan tajuk Nana dalam album Amuk - Hakikat.

Rock Kapak: Jati - Bitara Cinta

Telah hampir 7 bulan blog RockGempak wujud dan sambutan dari lu orang para pengunjung amat positif sekali. Banyak maklumbalas yang gua terima melalui email mengatakan rasa gembira dan berpuas hati dengan isi kandungan blog ini. Buat yang telah hantar email tapi gua belum sempat balas harap bersabar. Dalam pada itu tidak kurang pula yang memperlekehkan usaha gua ini. Mereka mengganggap usaha gua menaikkan kembali irama rock kapak ini tidak akan mendapat sambutan dan hanyalah sia-sia. Tidak semudah itu gua akan mengalah. Selagi berupaya, blog Rockgempak ini pasti akan gua kemaskini dari masa ke semasa.

Sebenarnya irama rock kapak masih mendapat sambutan yang meluas dalam industri hiburan tempatan. Tidak hairanlah kebanjiran album-album kompilasi rock kapak tetap mendapat sambutan dan kemunculan semula artis-artis rock kapak sentiasa dinanti-nantikan.


Lela - Baizura
Kumpulan Lela adalah sebuah kumpulan remaja yang mula muncul dalam industri hiburan sekitar penghujung tahun 1992. Kumpulan yang berasal dari Melaka ini menggabungkan remaja dari Melaka dan Johor. Album pertama mereka yang menggunakan judul Lela telah berjaya mendapat sambutan yang baik dengan lagu popular Bidadari. Lagu Baizura ini pula dipetik dari album kedua Lela berjudul Motivasi 2 pada tahun 1994.

Jati - Bitara Cinta
Lagu ini dipetik dari album sulung kumpulan Jati berjudul Cengkaman pada tahun 1991. Album terbitan Zman Production ini mendapat khidmat Man Senoi selaku penerbit dan diedarkan oleh Sinar Muzik. Terdapat beberapa lagu yang hebat dalam album ini selain lagu Bitara Cinta iaitu lagu Athira, Dilema Kepulanganmu dan Lalu Tertawa.

Helter Skelter - Kepadamu Cinta
Lagu ciptaan Awang BPR ini dipetik dari album Helter Skelter berjudul Antologi pada tahun 1991. Kumpulan dari kota Singa ini sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Mula menggegar industri hiburan apabila menyertai album Clash Of The Bands. Anggota kumpulan Helter Skelter adalah Raja Azman, Devan, Manaf, Jamal dan Mohammad.

Rock Kapak: Juara Lagu 1991 (part 2)



Ini adalah sambungan prebiu JUARA LAGU 1991 yang pernah gua tulis sebelum ni. Part 1 boleh lu orang semak di sini
Klip video di atas memaparkan beberapa lagi persembahan artis yang bertanding pada malam itu.

Keputusan JUARA LAGU pada malam itu.
JUARA LAGU: Takdir Dan Waktu - Mega (Rahim Othman/Juwie)
Kedua: Setelah Aku Kau Miliki - Shima (Saari Amri/Azida NS)
Ketiga: Tiara - Kris (M Nasir/M Nasir)

Persembahan terbaik pula dimenangi oleh Shima. Tempat kedua diraih oleh kumpulan Damasutra diikuti oleh kumpulan Kris di tempat ketiga.

Rata-rata ramai yang mengatakan inilah pertandingan JUARA LAGU paling sengit dalam sejarahnya. Tahun berikutnya format pertandingan telah diubah dengan wujudnya kategori-kategori bagi setiap pencalonan lagu dan format tersebut kekal hingga ke hari ini.

Rock Kapak: Belantara - Jentera Pemusnah

Belantara - Jentera Pemusnah
Lagu ini merupakan antara lagu heavy metal yang diminati dari album sulung kumpulan Belantara. Di anggotai oleh 3 orang pemuda yang masih lagi menuntut di luar negara pada masa itu iaitu Zaid, Aziz dan Shukri. Album terbitan Polygram ini turut menampilkan lagu hits berjudul Sutra, Ke Pangkuan Ibunda dan Dewi.

UG14 - Impian Terluka
Wom, Teddy, Raffik dan Hafiz merupakan barisan anggota kumpulan UG14 yang muncul dengan album sulung mereka berjudul Introduksi terbitan Polygram pada tahun 1991. Album ini telah mendapat khidmat Khalid Mobin (Rusty Blade) selaku penerbit. Impian Terluka adalah antara lagu slow yang mendapat tempat dihati para peminat selain lagu Bunga Larangan dan Sempadan Sempurna.

Chapters - Dosa Cinta
Lagu rock cinta ini dipetik dari album sulung kumpulan Chapters yang berjudul Prejudis pada tahun 1991. Walaupun lagu ini boleh dikatakan baik dan popular, tetapi kumpulan ini hanya mampu bertahan dengan satu album sahaja.

Rock Kapak: Handy Black - Natrah

Handy Black - Natrah

Lagu yang menceritakan penderitaan seorang gadis bernama Natrah ini adalah antara lagu yang diharamkan untuk penyiaran dari album kedua Handy Black - Tangan Hitam pada tahun 1990 kerana menyentuh isu agama dan negara.

Hillary - Sayang Tak Merindu (feat Roy)
Lagu ini dipetik dari album solo pertama Hillary Ang berjudul Hillary D'Album pada tahun 1990. Album ini banyak memuatkan lagu-lagu instrumental dengan petikan gitar yang mantap dari Hillary. Di samping itu terdapat 3 buah lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi undangan dalam album ini iaitu Roy, Aida Agil dan Rahmat (Ekamatra)

Saxo - Dukacarita Cinta
Lagu dipetik dari album sulung Saxo berjudul Satu Perjuangan pada penghujung tahun 1990. Kumpulan thrash metal ini muncul dengan barisan 4 orang pemuzik iaitu Wan (vokal) Jamal (gitar) Jagger (bass) dan Adi (drum). Sebelum merakamkan album ini mereka pernah muncul dalam album kompilasi Hikayat Rok dan Pancakara Di Cakrawala terbitan BoxOffice. Kumpulan yang berasal dari Batu Gajah, Perak ini mula dicungkil bakat dalam pertandingan Bintang BoxOffice'88 terbitan Ali Bakar.

Rock Kapak: Sofea - Sisa Sisa Hidup

Fotograf - Melodi Cinta
Lagu ini dipetik dari album ketiga Fotograf pada tahun 1992. Album ini gua anggap sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh Fotograf. Lagu slow dan fast sama-sama hebat. Sebenarnya banyak lagu yang sedap didengar selain lagu Di Alam Fana Cintamu dan Ke Pintu Kasihmu yang merupakan dua lagu top hits dari album ini. Melodi Cinta adalah salah satu daripadanya. Album ini telah benar-benar menaikkan nama Fotograf dipersada rock tanahair dengan memenangi beberapa anugerah pada masa itu.

Sofea - Sisa Sisa Hidup
Sisa Sisa Hidup dipetik dari album kumpulan Sofea berjudul Anak Liar pada tahun 1988. Album agung Sofea ini turut memuatkan lagu Bunga Padang Pasir, Suratan Perpisahan, Anak Liar dan Pabila Cinta Bersemi. Anggota Sofea dalam album ini adalah Amir (vokal), Fancy (gitar), Man Rani (bass) dan Ujang (drum). Sesungguhnya Sofea/SYJ adalah antara band yang terunggul pada zamannya.

Shima - Di Sebalik Sejuta Wajah
Setelah meninggalkan kumpulan The Boys, Shima bergerak secara solo dan lagu ini adalah hasil pertama beliau. Album sulung Shima volume 1 (diterbitkan oleh Sani, Usop dan Siso) pada tahun 1990 telah menaikkan nama Shima sebaris dengan dengan puteri-puteri rock yang lain. Lagu ciptaan Umarul (Iklim) ini sebenarnya begitu popular pada masa itu namun kini jarang kedengaran lagi di corong-corong radio.

Rock Kapak: Bulan Madu Dalam Hempedu

Laksamana - Bulan Madu Dalam Hempedu
Kumpulan Laksamana hanya sempat merakamkan dua album sahaja. Album pertama berjudul Syukur meletup dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta. Sementara lagu ini, Bulan Madu Dalam Hempedu dipetik dari album kedua mereka berjudul Resah. Album ini masih mengekalkan konsep yang hampir dengan album terdahulu. Lagu 'jiwa-jiwa' masih menjadi senjata utama kumpulan Laksamana. Lagu-lagu seperti Curang dan Luka Di Kemudian turut menjadi lagu hits dalam album ini.

Spring - Sampai Hati
Sebuah lagu cintan yang pasti menjadi ingatan mat-mat rock satu ketika dulu. Lagu ciptaan M Nasir ini dimuatkan dan turut menjadi judul album kedua kumpulan Spring pada penghujung tahun 1992. Lagu ini layak hingga ke peringkat akhir Juara Lagu 1993 di TV3.

Rio - Janji Terpaksa
Album pertama Rio ini berjudul Dunia 1002 diterbitkan pada tahun 1992. Kumpulan dari Muar, Johor ini pada masa itu dianggotai oleh Shafie selaku vokalis, Man (pemain gitar), Alias (pemain bass) dan Taufiq (pemain drum). Alias dan Taufiq adalah bekas anggota kumpulan Crossfire. Selain lagu Janji Terpaksa, album ini turut memuatkan lagu hits Layu Di Hujung Mekar dan Taman Sementara. Antara kejayaan kumpulan Rio adalah memasuki peringkat akhir Konsert Puncak Pujaan 10 tahun 1993 menerusi lagu Layu Di Hujung Mekar.

Belantara - Pelita Ketenangan
Lagu ini menampilkan duet antara vokalis Belantara iaitu Zaid bersama dengan Leez (yang popular dengan lagu El). Lagu Pelita Ketenangan dipetik dari album ketiga Belantara berjudul Infiniti pada tahun 1990. Hanya 5 lagu sahaja yang diluluskan untuk penyiaran dalam album ini dan Pelita Ketenangan adalah satu satu daripadanya.