Selamat Datang

Gua percaya lu orang yang menjejaki blog gua ini terdiri daripada mat-mat rock yang pernah melalui zaman kegemilangan rock kapak satu masa dulu. Pada ketika itu industri hiburan sangat meriah. Boleh dikatakan setiap hari ada saja lagu baru yang keluar. Pelbagai band muzik yang muncul dengan bermacam-macam nama membawa killer song masing-masing. Walaupun sekarang zaman telah berlalu, tapi lagu-lagu tersebut masih menjadi kegilaan. Syarikat rakaman dan stesen radio juga berlumba-lumba mengeluarkan semula lagu-lagu popular tersebut. Tapi sebenarnya ada banyak lagi lagu-lagu yang popular dan sedap didengar yang tidak lagi diperdengarkan kepada umum. Dalam blog ini gua cuba untuk memperdengarkan sebahagian lagu-lagu tersebut yang juga menjadi pujaan gua pada ketika itu.

Rock Kapak: Juara Lagu 1991 (part 1)



Malam Anugerah JUARA LAGU 1991 pasti tidak lekang dari ingatan para peminat muzik rock tempatan. Pada tahun itu persaingan rata-rata semua dikalangan kumpulan-kumpulan muzik rock. Kumpulan yang layak bertanding di peringkat akhir adalah Dinamik, Masa Scarecrow, Black Rose, Laksamana, Damasutra, Olan, Kris dan Mega. cuma 3 orang sahaja artis solo yang layak pada malam itu. 3 orang itu juga dari genre muzik rock iaitu Hattan, Ella dan Shima. ternyata ROCK menguasai pertandingan JUARA LAGU 1991 pada malam itu. Pertandingan telah dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada penghujung bulan Disember, 1991.

Klip video di atas memaparkan petikan persembahan artis-artis yang bertanding pada malam itu.


Rock Kapak: Lagu dan nama tempat

Rockgempak kali ini akan diisi dengan lagu rock kapak yang bertemakan nama tempat.

Vagrant - Percikan Cinta Di Dataran Merdeka

Kisah percintaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ini telah diabadikan oleh kumpulan Vagrant dalam lagu mereka ini. Selain muzik yang keras, suara dan gaya nyanyian vokalis Vagrant (Baha) dikatakan mirip kepada vokalis kumpulan Scorpions (Klaus Meine)

Loving Born - Tanjung Puteri
Walaupun mereka bukanlah penyanyi asal lagu ini tetapi Loving Born telah membawakan lagu ini dalam versi rock dengan baik sekali.

SYJ - Yik Foong Blues

Yang gua difahamkan, Kompleks Yik Foong adalah tempat lepak untuk rockers-rockers di Ipoh satu ketika dulu. Maka tidak hairanlah nama kompleks ini dijadikan tajuk lagu SYJ yang merupakan kumpulan rock dari Ipoh. Lagu dipetik dari album SYJ berjudul Khudrat pada tahun 1990.

Analisa - Palestin

Lagu ini termuat dalam album sulung Analisa yang juga menggunakan tajuk Palestin. vokalis kumpulan Analisa ialah Amir (Ukays)

Tag:

Rock Kapak: Lagu Berunsur Sejarah

BPR - 1511

Lagu 1511 menceritakan tentang perjuangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka menentang penjajah Portugis pada tahun 1511. Lagu ini dipetik dari album kedua BPR berjudul Bisa pada tahun 1988.

Rusty Blade - Jasa Tok Janggut

Lagu ini pula menceritakan tentang perjuangan Tok Janggut di negeri Kelantan. Hayatilah bersama. Lagu ini dipetik dari album Rusty Blade berjudul Berat pada tahun 1988.

Rajawali - Sumpahan Suci (Mahsuri)
Sumpahan Suci pula menceritakan tentang nasib Mahsuri yang menjadi mangsa fitnah dan kesannya terhadap sejarah Langkawi. Lagu ini dipetik dari album sulung Rajawali pada tahun 1991.

Gersang - B29
B29 adalah nama pesawat yang telah digunakan untuk mengebom Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada tahun 1945. Lagu ini dipetik dari album terakhir Gersang yang juga menggunakan tajuk B29 pada tahun 1989.

Rock Kapak: Anggerik Impianku

Kali ini Rockgempak akan dipenuhi dengan lagu rock kapak yang menarik tetapi kurang popular.

Justice - Anggerik Impianku

Dengarkan lagu hits dari Justice, kumpulan yang berasal dari Singapura.

Staccato - Kedinginan

Lagu Kedinginan ciptaan Azhar dan lirik oleh Ahmad dipetik dari album sulung Staccato berjudul Kedinginan pada tahun 1992. Album ini diterbitkan oleh Mokhtar Latif dan dikeluarkan oleh Pustaka Muzik NSR. Kumpulan Staccato berasal dari Melaka.

Kalahari - Kesucian Cinta Tiada Tandingan

Tak banyak yang gua tau pasal kumpulan ni. Lagu ini dipetik dari album sulung Kalahari pada tahun 1990 yang turut menggunakan tajuk yang sama iaitu Kesucian Cinta Tiada Tandingan.

Mercury - Hanya Keranamu

Hanya Keranamu juga merupakan tajuk album sulung kumpulan Mercury pada tahun 1994. Kumpulan yang bernaung di bawah syarikat Red Tomato Management ini dianggotai oleh Boy (vokal) Zam Stone (gitar) Fendi (bass) Zool (drum). Boy merupakan bekas vokalis kumpulan Susila. Zam Stone pula kini menganggotai kumpulan Barongan. Album Mercury ini telah diterbitkan oleh Kiya (gitaris kumpulan Vagrant)