Selamat Datang

Gua percaya lu orang yang menjejaki blog gua ini terdiri daripada mat-mat rock yang pernah melalui zaman kegemilangan rock kapak satu masa dulu. Pada ketika itu industri hiburan sangat meriah. Boleh dikatakan setiap hari ada saja lagu baru yang keluar. Pelbagai band muzik yang muncul dengan bermacam-macam nama membawa killer song masing-masing. Walaupun sekarang zaman telah berlalu, tapi lagu-lagu tersebut masih menjadi kegilaan. Syarikat rakaman dan stesen radio juga berlumba-lumba mengeluarkan semula lagu-lagu popular tersebut. Tapi sebenarnya ada banyak lagi lagu-lagu yang popular dan sedap didengar yang tidak lagi diperdengarkan kepada umum. Dalam blog ini gua cuba untuk memperdengarkan sebahagian lagu-lagu tersebut yang juga menjadi pujaan gua pada ketika itu.

Rock Kapak: Babylon - Metalfire

Babylon - Metalfire
Lagu berbahasa inggeris ini dipetik dari album sulung Babylon pada tahun 1990. Album yang diterbitkan oleh M Nasir ini berkonsepkan heavy metal. Kumpulan Babylon diterajui oleh pasangan kembar iaitu Hussein (vokalis) dan Hasan (gitaris). Mereka turut disertai oleh Kamal (bassist) dan Naha (drum). Lagu ini hasil ciptaan Hasan dan Hussein sementara lirik ditulis oleh Arabi. Terdapat sebuah lagi lagu berbahasa inggeris dalam album ini iaitu Fight For Freedom.

Dinamik - Pesanan
Lagu ini dipetik dari album sulung Dinamik berjudul Revolusi Mental pada penghujung tahun 1990. Album ini diterbitkan oleh Afzainizam dan diedarkan oleh NSR. Lirik lagu yang membawa mesej agar kita menghargai jasa kedua ibu bapa ini antara lagu yang popular dalam album ini. Kumpulan Dinamik dianggotai oleh 4 orang pemuzik dari Pahang Darulmakmur iaitu Norin, Nan, Jeff dan Lie. Sementara vokalis mereka, Nai berasal dari Sarawak.

Febians - Senjata Zaman
Senjata Zaman dipetik dari album ketiga Febians berjudul Satu Antara Sejuta. Album ini banyak memuatkan lagu-lagu yang lebih berat dari album-album Febians sebelumnya. Kumpulan berasal dari Johor ini dianggotai oleh Nasha, Aziz, Sham, Yan dan Harun. Dan jika diamati lagu ini telah diberi nafas baru oleh kumpulan Amuk dengan tajuk Nana dalam album Amuk - Hakikat.

Rock Kapak: Jati - Bitara Cinta

Telah hampir 7 bulan blog RockGempak wujud dan sambutan dari lu orang para pengunjung amat positif sekali. Banyak maklumbalas yang gua terima melalui email mengatakan rasa gembira dan berpuas hati dengan isi kandungan blog ini. Buat yang telah hantar email tapi gua belum sempat balas harap bersabar. Dalam pada itu tidak kurang pula yang memperlekehkan usaha gua ini. Mereka mengganggap usaha gua menaikkan kembali irama rock kapak ini tidak akan mendapat sambutan dan hanyalah sia-sia. Tidak semudah itu gua akan mengalah. Selagi berupaya, blog Rockgempak ini pasti akan gua kemaskini dari masa ke semasa.

Sebenarnya irama rock kapak masih mendapat sambutan yang meluas dalam industri hiburan tempatan. Tidak hairanlah kebanjiran album-album kompilasi rock kapak tetap mendapat sambutan dan kemunculan semula artis-artis rock kapak sentiasa dinanti-nantikan.


Lela - Baizura
Kumpulan Lela adalah sebuah kumpulan remaja yang mula muncul dalam industri hiburan sekitar penghujung tahun 1992. Kumpulan yang berasal dari Melaka ini menggabungkan remaja dari Melaka dan Johor. Album pertama mereka yang menggunakan judul Lela telah berjaya mendapat sambutan yang baik dengan lagu popular Bidadari. Lagu Baizura ini pula dipetik dari album kedua Lela berjudul Motivasi 2 pada tahun 1994.

Jati - Bitara Cinta
Lagu ini dipetik dari album sulung kumpulan Jati berjudul Cengkaman pada tahun 1991. Album terbitan Zman Production ini mendapat khidmat Man Senoi selaku penerbit dan diedarkan oleh Sinar Muzik. Terdapat beberapa lagu yang hebat dalam album ini selain lagu Bitara Cinta iaitu lagu Athira, Dilema Kepulanganmu dan Lalu Tertawa.

Helter Skelter - Kepadamu Cinta
Lagu ciptaan Awang BPR ini dipetik dari album Helter Skelter berjudul Antologi pada tahun 1991. Kumpulan dari kota Singa ini sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Mula menggegar industri hiburan apabila menyertai album Clash Of The Bands. Anggota kumpulan Helter Skelter adalah Raja Azman, Devan, Manaf, Jamal dan Mohammad.

Rock Kapak: Juara Lagu 1991 (part 2)



Ini adalah sambungan prebiu JUARA LAGU 1991 yang pernah gua tulis sebelum ni. Part 1 boleh lu orang semak di sini
Klip video di atas memaparkan beberapa lagi persembahan artis yang bertanding pada malam itu.

Keputusan JUARA LAGU pada malam itu.
JUARA LAGU: Takdir Dan Waktu - Mega (Rahim Othman/Juwie)
Kedua: Setelah Aku Kau Miliki - Shima (Saari Amri/Azida NS)
Ketiga: Tiara - Kris (M Nasir/M Nasir)

Persembahan terbaik pula dimenangi oleh Shima. Tempat kedua diraih oleh kumpulan Damasutra diikuti oleh kumpulan Kris di tempat ketiga.

Rata-rata ramai yang mengatakan inilah pertandingan JUARA LAGU paling sengit dalam sejarahnya. Tahun berikutnya format pertandingan telah diubah dengan wujudnya kategori-kategori bagi setiap pencalonan lagu dan format tersebut kekal hingga ke hari ini.

Rock Kapak: Belantara - Jentera Pemusnah

Belantara - Jentera Pemusnah
Lagu ini merupakan antara lagu heavy metal yang diminati dari album sulung kumpulan Belantara. Di anggotai oleh 3 orang pemuda yang masih lagi menuntut di luar negara pada masa itu iaitu Zaid, Aziz dan Shukri. Album terbitan Polygram ini turut menampilkan lagu hits berjudul Sutra, Ke Pangkuan Ibunda dan Dewi.

UG14 - Impian Terluka
Wom, Teddy, Raffik dan Hafiz merupakan barisan anggota kumpulan UG14 yang muncul dengan album sulung mereka berjudul Introduksi terbitan Polygram pada tahun 1991. Album ini telah mendapat khidmat Khalid Mobin (Rusty Blade) selaku penerbit. Impian Terluka adalah antara lagu slow yang mendapat tempat dihati para peminat selain lagu Bunga Larangan dan Sempadan Sempurna.

Chapters - Dosa Cinta
Lagu rock cinta ini dipetik dari album sulung kumpulan Chapters yang berjudul Prejudis pada tahun 1991. Walaupun lagu ini boleh dikatakan baik dan popular, tetapi kumpulan ini hanya mampu bertahan dengan satu album sahaja.